Jika organisasi anda menandatangani Perjanjian Dropbox Business, Perkhidmatan Dropbox atau Dropbox Enterprise dengan Dropbox, Perjanjian itu mungkin telah mengubah suai dasar privasi di bawah. Sila hubungi Pentadbir organisasi anda untuk mendapatkan butiran.
Terjemahan ini disediakan untuk kemudahan sahaja dan versi bahasa Inggeris akan digunakan jika berlaku sebarang percanggahan.
Dasar Privasi Dropbox
Disiarkan: 17 Januari 2023
Berkuat kuasa: 3 April 2023
Di sini kami menjelaskan cara kami mengumpulkan, menggunakan dan mengendalikan data peribadi anda semasa anda menggunakan laman web, perisian dan perkhidmatan (“Perkhidmatan”) kami. Untuk mendapatkan maklumat dan butiran lanjut, sila lihat Halaman Soalan Lazim kami.
Apa & Mengapa
Kami mengumpulkan dan menggunakan maklumat yang berikut untuk menyediakan, memperbaiki, melindungi dan mempromosikan Perkhidmatan kami.
Maklumat akaun. Kami mengumpulkan, dan mengaitkan dengan akaun anda, maklumat yang anda berikan kepada kami semasa anda melakukan perkara seperti mendaftarkan akaun anda, menaik taraf kepada pelan berbayar, dan menyediakan pengesahan dua faktor (seperti nama, alamat e-mel, nombor telefon, maklumat pembayaran dan alamat fizikal anda).
Barang Anda. Perkhidmatan kami direka sebagai cara yang ringkas dan terperibadi untuk anda menyimpan fail, dokumen, foto, komen, mesej dan sebagainya (“Barang Anda”), bekerjasama dengan orang lain, serta bekerja merentas berbilang peranti dan perkhidmatan. Untuk berbuat demikian, kami menyimpan, memproses dan menghantar Barang Anda serta maklumat berkaitan dengannya. Maklumat berkaitan ini termasuklah maklumat profil anda yang memudahkan anda bekerjasama dan berkongsi Barang Anda dengan orang lain, serta perkara seperti saiz fail, waktu dimuat naik, kolaborator, dan aktiviti penggunaan.
Kenalan. Anda boleh memilih untuk memberi kami akses kepada kenalan anda bagi memudahkan anda dan Pasukan Dropbox anda jika anda pengguna Pasukan Dropbox, melakukan perkara seperti berkongsi dan bekerjasama dalam Barang Anda, menghantar mesej, dan menjemput orang lain untuk menggunakan Perkhidmatan. Jika anda berbuat demikian, kami akan menyimpan kenalan tersebut pada pelayan kami.
Maklumat penggunaan. Kami mengumpulkan maklumat berkenaan cara anda menggunakan Perkhidmatan, termasuk tindakan yang anda ambil dalam akaun anda (seperti berkongsi, menyunting, melihat, mencipta dan mengalihkan fail atau folder, serta menghantar dan menerima permintaan tandatangan elektronik dan juga transaksi lain). Kami menggunakan maklumat ini untuk menyediakan, menambah baik dan mempromosikan Perkhidmatan kami, serta melindungi pengguna Dropbox. Sila rujuk Soalan Lazim kami untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara kami menggunakan maklumat penggunaan ini.
Maklumat peranti. Kami turut mengumpulkan maklumat daripada dan tentang peranti yang anda gunakan untuk mengakses Perkhidmatan. Ini termasuk perkara seperti alamat IP, jenis pelayar dan peranti yang anda gunakan, laman web yang anda layari sebelum masuk ke laman web kami, dan maklumat pengenalan berkaitan peranti anda. Peranti anda (bergantung pada tetapan) juga boleh menghantar maklumat lokasi kepada Perkhidmatan. Sebagai contoh, kami menggunakan maklumat peranti untuk mengesan penyalahgunaan serta mengenal pasti dan menyelesaikan pepijat.
Kuki dan teknologi lain. Kami menggunakan teknologi seperti kuki dan tag piksel untuk menyediakan, memperbaiki, melindungi dan mempromosikan Perkhidmatan kami. Contohnya, kuki membantu kami dengan perkara seperti mengingati nama pengguna anda untuk kunjungan anda yang seterusnya, memahami cara anda berinteraksi dengan Perkhidmatan kami, dan memperbaiki Perkhidmatan itu berdasarkan maklumat tersebut. Anda boleh menetapkan pelayar anda untuk tidak menerima kuki, tetapi ini boleh membataskan keupayaan anda untuk menggunakan Perkhidmatan. Jika sistem kami menerima isyarat DNT:1 daripada pelayar anda, kami akan bertindak balas terhadap isyarat tersebut seperti yang digariskan di sini. Kami juga mungkin menggunakan penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang menetapkan kuki dan teknologi yang serupa untuk mempromosikan perkhidmatan Dropbox. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang cara kuki dan teknologi yang serupa berfungsi, serta cara untuk memilih keluar daripada menggunakan kuki untuk tujuan pengiklanan, di sini.
Analisis DocSend dan Dropbox. Apabila anda menggunakan bahagian analisis DocSend atau Dropbox daripada Perkhidmatan kami untuk melihat kandungan, kami akan mengumpulkan maklumat termasuk maklumat pengenalpastian dan peranti anda, seperti alamat e-mel, alamat IP dan pengecam peranti yang anda gunakan untuk melihat kandungan. Kami juga akan mengumpulkan maklumat tentang cara anda berinteraksi dengan kandungan yang dilihat, seperti tarikh dan masa anda melihat kandungan, bilangan kali dan tempoh masa anda melihat kandungan serta bahagian kandungan yang anda lihat.
Pemasaran. Kami memberikan pilihan kepada pengguna untuk menggunakan sesetengah Perkhidmatan kami secara percuma. Perkhidmatan percuma ini mampu ditawarkan kerana sesetengah pengguna menaik taraf kepada salah satu Perkhidmatan berbayar kami. Jika anda mendaftar untuk Perkhidmatan kami, kami akan menghantar maklumat tentang naik taraf kepada anda dari masa ke masa, jika dibenarkan. Pengguna yang menerima bahan pemasaran ini boleh berhenti melanggan pada bila-bila masa. Jika anda tidak mahu menerima jenis bahan pemasaran tertentu daripada kami, klik pautan ‘berhenti melanggan‘ dalam e-mel berkenaan, atau kemas kini keutamaan anda dalam bahagian Pemberitahuan akaun peribadi anda.
Kami juga boleh mengumpulkan maklumat daripada anda jika anda berinteraksi dengan wakil Dropbox di acara, memuat turun bahan pemasaran atau pendidikan daripada laman web kami, atau menghubungi wakil Dropbox. Kami boleh menggunakan maklumat yang anda berikan untuk menghantar bahan pemasaran tambahan kepada anda.
Kadangkala kami menghubungi orang yang tidak mempunyai akaun Dropbox. Untuk penerima di Kesatuan Eropah, kami atau pihak ketiga akan mendapatkan kebenaran sebelum menghubungi anda. Jika anda menerima e-mel dan tidak lagi ingin dihubungi oleh Dropbox, anda boleh berhenti melanggan dan mengeluarkan diri anda daripada senarai kenalan kami melalui mesej itu.
Asas untuk memproses data anda. Kami mengumpulkan dan menggunakan data peribadi yang diterangkan di atas untuk menyediakan Perkhidmatan kepada anda dalam cara yang boleh dipercayai dan selamat. Kami juga mengumpulkan dan menggunakan data peribadi untuk keperluan perniagaan kami. Sekiranya kami memproses data peribadi anda untuk tujuan lain, kami akan meminta kebenaran anda terlebih dahulu atau mewajibkan rakan niaga kami untuk mendapatkan kebenaran tersebut. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang asas sah untuk memproses data anda, sila lihat Soalan Lazim kami.
Untuk mendapatkan butiran lanjut tentang kategori maklumat peribadi yang disertakan dalam maklumat di atas, sila lihat Soalan Lazim kami.
Dengan Siapa
Kami boleh berkongsi maklumat seperti yang dibincangkan di bawah, tetapi kami tidak akan menjualnya kepada pengiklan atau pihak-pihak ketiga yang lain.
Orang lain yang bekerja untuk dan dengan Dropbox. Dropbox menggunakan pihak ketiga dipercayai yang tertentu (contohnya, pembekal sokongan pelanggan dan perkhidmatan IT) untuk tujuan perniagaan iaitu membantu kami menyediakan, menambah baik, melindungi dan mempromosikan Perkhidmatan kami. Pihak ketiga ini akan mengakses maklumat anda untuk melaksanakan tugas bagi pihak kami, dan kami akan terus dipertanggungjawabkan ke atas pengendalian maklumat anda oleh mereka berdasarkan arahan kami. Untuk mengetahui senarai pihak ketiga dipercayai yang kami gunakan untuk memproses maklumat peribadi anda dan butiran lanjut tentang kategori maklumat peribadi yang telah kami dedahkan, sila lihat Soalan Lazim kami.
Syarikat Dropbox lain. Dropbox berkongsi infrastruktur, sistem dan teknologi dengan Syarikat Dropbox lain untuk menyediakan, menambah baik, melindungi dan mempromosikan Perkhidmatan Syarikat Dropbox. Kami memproses maklumat anda merentas Syarikat Dropbox untuk tujuan-tujuan ini, seperti yang dibenarkan oleh undang-undang dan mengikut terma dan dasar masing-masing. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Syarikat Dropbox, Perkhidmatan Syarikat Dropbox, dan cara data anda digunakan, sila lihat Soalan Lazim kami.
Pengguna lain. Perkhidmatan kami direka bentuk untuk membantu anda bekerjasama dengan orang lain. Jika anda mendaftarkan akaun Dropbox anda dengan alamat e-mel pada domain yang dimiliki oleh majikan atau organisasi anda, menyertai Pasukan Dropbox, atau bekerjasama dengan pengguna Dropbox yang lain, kami mungkin mencadangkan anda atau pasukan anda sebagai bakal kolaborator kepada pengguna atau pasukan lain. Sebagai contoh, jika anda berinteraksi dengan seseorang di sebuah syarikat, dan orang itu sering bekerja dengan salah seorang rakan sekerja mereka, kami mungkin mencadangkan anda sebagai bakal kolaborator untuk rakan sekerja itu. Kolaborator dan bakal kolaborator mungkin akan melihat sesetengah maklumat asas anda, seperti nama anda, nama Pasukan Dropbox, gambar profil, peranti, alamat e-mel, dan maklumat penggunaan. Ini akan membantu anda membuat penyelarasan dengan pasukan yang boleh anda sertai dan membantu pengguna lain berkongsi fail dan folder dengan anda.
Ciri-ciri tertentu akan membolehkan anda menyediakan maklumat tambahan kepada pengguna lain. Contohnya, jika anda melihat fail atau folder yang dikongsi daripada analisis DocSend atau Dropbox, kami akan berkongsi maklumat pengenalpastian anda seperti nama dan alamat e-mel, maklumat pada peranti yang anda gunakan untuk melihat kandungan tersebut dan tempoh masa anda melihat kandungan serta bahagian kandungan yang anda lihat dengan pemilik fail atau folder.
Aplikasi lain. Anda boleh memilih untuk menyambungkan akaun Dropbox anda dengan perkhidmatan pihak ketiga––sebagai contoh, melalui API Dropbox. Dengan berbuat demikian, anda akan membolehkan Dropbox dan pihak ketiga tersebut untuk bertukar-tukar maklumat mengenai anda dan data dalam akaun anda supaya Dropbox dan pihak ketiga tersebut boleh menyediakan, memperbaiki, melindungi dan mempromosikan perkhidmatan mereka. Sila ingat bahawa penggunaan maklumat anda oleh pihak ketiga akan ditadbir urus oleh dasar privasi dan terma perkhidmatan mereka sendiri.
Pentadbir Pasukan. Jika anda merupakan pengguna Pasukan Dropbox, pentadbir anda mungkin mempunyai keupayaan untuk mengakses dan mengawal akaun Pasukan Dropbox anda. Sila rujuk dasar dalaman organisasi anda jika anda ada pertanyaan tentang perkara ini. Jika anda bukan pengguna Pasukan Dropbox tetapi berinteraksi dengan pengguna Pasukan Dropbox (contohnya, dengan menyertai folder kongsian atau mengakses barang yang dikongsi oleh pengguna itu), ahli organisasi itu mungkin boleh melihat maklumat tentang anda (seperti nama, alamat e-mel, dan gambar profil anda) dan interaksi anda dengan pengguna Pasukan Dropbox (seperti alamat IP anda). Jika anda berkongsi Barang Anda dengan pengguna Pasukan Dropbox, pentadbir akaun pasukan itu mungkin mempunyai keupayaan untuk mengakses dan menyunting barang yang anda kongsikan.
Undang-undang & Perintah dan Kepentingan Awam. Kami boleh mendedahkan maklumat anda kepada pihak ketiga jika kami pasti bahawa pendedahan seperti itu perlu sewajarnya untuk: (a) mematuhi mana-mana undang-undang, peraturan, prosiding mahkamah, atau permintaan munasabah kerajaan yang berkenaan; (b) melindungi seseorang daripada kematian atau kecederaan fizikal yang serius; (c) mencegah penyelewengan atau penyalahgunaan Dropbox atau pengguna kami; (d) melindungi hak, harta, keselamatan, atau kepentingan Dropbox; atau (e) menjalankan tugas yang dilaksanakan demi kepentingan awam.
Pengawasan data anda penting kepada kami dan merupakan tanggungjawab yang kami pikul. Kami percaya bahawa data anda harus menerima perlindungan undang-undang yang sama tidak kira sama ada ia disimpan pada Perkhidmatan kami ataupun pada pemacu keras komputer anda. Kami akan mematuhi Prinsip Permintaan Kerajaan yang berikut semasa menerima, meneliti, dan membalas permintaan kerajaan (termasuk permintaan keselamatan negara) untuk mendapatkan data anda:
- Menjadi telus
- Menentang permintaan pukal
- Melindungi semua pengguna, dan
- Menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai.
Kami menerbitkan Laporan Ketelusan sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memaklumkan kepada anda tentang masa dan cara kerajaan meminta maklumat daripada kami. Laporan ini memperincikan jenis dan bilangan permintaan yang kami terima daripada penguat kuasa undang-undang. Kami menggalakkan anda untuk menyemak Prinsip Permintaan Kerajaan dan Laporan Ketelusan kami untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang pendekatan dan respons kami terhadap permintaan kerajaan.
Bagaimana
Keselamatan. Kami mempunyai pasukan berdedikasi untuk mengekalkan keselamatan maklumat anda dan menguji sebarang kerentanan. Kami terus berusaha memperbaiki ciri-ciri untuk mengekalkan keselamatan maklumat anda di samping perkara seperti pengesahan dua faktor, penyulitan fail ketika rehat dan amaran apabila peranti dan aplikasi baru disambung ke akaun anda. Kami menggunakan teknologi automatik untuk mengesan penyalahgunaan dan kandungan yang boleh memudaratkan Perkhidmatan kami, anda atau pengguna lain.
Kawalan Pengguna. Anda boleh mengakses, meminda, memuat turun dan menghapuskan maklumat peribadi anda dengan mengelog masuk ke akaun Dropbox anda dan pergi ke halaman tetapan akaun anda. Ketahui lebih lanjut di sini tentang cara menguruskan maklumat akaun anda secara umum, atau klik di sini untuk mengetahui cara menukar maklumat profil anda.
Pengekalan Data. Apabila anda mendaftar akaun dengan kami, kami akan mengekalkan maklumat yang anda simpan pada Perkhidmatan kami selagi akaun anda masih wujud atau selagi kami memerlukannya untuk menyediakan Perkhidmatan kepada anda. Jika anda menghapuskan akaun anda, kami akan memulakan penghapusan maklumat ini selepas 30 hari. Ketahui lebih lanjut di sini. Namun, sila ambil perhatian: (1) mungkin akan terdapat kelewatan dalam penghapusan maklumat ini daripada pelayan dan storan sandaran kami; dan (2) kami mungkin mengekalkan maklumat ini sekiranya perlu bagi mematuhi kewajipan undang-undang kami, menyelesaikan pertikaian atau menguatkuasakan perjanjian kami.
Penggunaan Data daripada API Google. Penggunaan dan pemindahan Dropbox kepada mana-mana aplikasi maklumat lain yang diterima daripada API Google akan mematuhi Dasar Data Pengguna Perkhidmatan API Google, termasuk keperluan Penggunaan Terhad.
Di mana
Di seluruh dunia. Bagi menyediakan Perkhidmatan kepada anda, kami boleh menyimpan, memproses dan menghantar data di Amerika Syarikat dan lokasi-lokasi di seluruh dunia—termasuk lokasi di luar negara anda. Data juga boleh disimpan secara setempat pada peranti yang anda gunakan untuk mengakses Perkhidmatan.
Pemindahan Data. Semasa memindahkan data dari Kesatuan Eropah, Kawasan Ekonomi Eropah, United Kingdom dan Switzerland, Dropbox bergantung kepada pelbagai mekanisme undang-undang, termasuk kontrak dengan pelanggan dan sekutu kami, Klausa Kontrak Standard, dan keputusan kecukupan oleh Suruhanjaya Eropah mengenai negara tertentu, mengikut mana-mana yang berkenaan.
EU-U.S. Privacy Shield dan Swiss-U.S. Privacy Shield. Dropbox mematuhi Rangka Kerja EU-U.S. dan Swiss–U.S. Privacy Shield, seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perdagangan A.S. berkenaan pengumpulan, penggunaan dan pengekalan data peribadi yang dipindahkan daripada Kesatuan Eropah, Kawasan Ekonomi Eropah, United Kingdom dan Switzerland kepada Amerika Syarikat, walaupun Dropbox tidak bergantung pada Rangka Kerja EU-U.S. Privacy Shield atau Swiss-U.S. Privacy Shield sebagai dasar undang-undang untuk pemindahan data peribadi. Dropbox telah memperakui kepada Jabatan Perdagangan bahawa ia mematuhi Prinsip Privacy Shield berhubung dengan data tersebut, tetapi ini tidak termasuk bahagian DocSend daripada Perkhidmatan. Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut tentang Privacy Shield di https://www.privacyshield.gov.
Dropbox tertakluk pada penyeliaan oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) A.S. JAMS ialah sebuah organisasi bebas di AS yang bertanggungjawab untuk menyemak dan menyelesaikan aduan tentang pematuhan Privacy Shield kami—tanpa mengenakan caj kepada anda. Kami minta supaya anda mengemukakan sebarang aduan seperti itu terus kepada kami terlebih dahulu melalui privacy@dropbox.com. Jika anda tidak berpuas hati dengan jawapan kami, sila hubungi JAMS di https://www.jamsadr.com/eu-us-privacy-shield. Sekiranya aduan anda masih tidak diselesaikan oleh JAMS, anda berhak mendapatkan penyelesaian timbang tara di bawah Privacy Shield dan prinsipnya.
Kawalan Anda dan Akses Data Anda
Anda mempunyai kawalan ke atas data peribadi anda dan cara ia dikumpul, diguna dan dikongsi. Sebagai contoh, anda boleh:
- Menghapuskan Barang Anda dalam akaun Dropbox anda. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang cara menghapuskan fail yang disimpan dalam Dropbox di sini.
- Mengubah atau membetulkan data peribadi. Anda boleh menguruskan akaun anda dan kandungan di dalam akaun tersebut, serta menyunting sesetengah data peribadi anda, melalui halaman tetapan akaun anda.
- Mengakses dan membawa data anda ke tempat lain. Anda boleh mengakses data peribadi anda dari akaun Dropbox anda dan anda boleh memuat turun salinan Barang Anda dalam format yang boleh dibaca oleh komputer seperti yang digariskan di sini. Anda juga boleh meminta kami memberikan salinan data peribadi yang telah anda berikan kepada kami atau yang telah kami kumpulkan, tujuan perniagaan atau komersial untuk pengumpulan data tersebut, jenis sumber yang kami peroleh data tersebut, dan jenis pihak ketiga yang telah kami kongsikan data tersebut.
- Pembantahan terhadap pemprosesan data peribadi anda. Bergantung pada aktiviti pemprosesan, anda boleh meminta supaya kami berhenti atau membataskan pemprosesan data peribadi anda.
Jika anda ingin menyerahkan permintaan akses data, atau membantah pemprosesan data peribadi anda, sila hantar e-mel kepada kami di privacy@dropbox.com. Untuk meminta data peribadi anda dihapuskan, sila isi borang ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara untuk mengawal dan mengakses data peribadi anda, sila lihat Soalan Lazim kami.
Dropbox sebagai pengawal atau pemproses. Jika anda tinggal di Amerika Utara (Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico), Dropbox, Inc. akan bertindak sebagai penyedia perkhidmatan anda. Untuk semua pengguna lain, Dropbox International Unlimited Company akan bertindak sebagai pengawal data peribadi anda. Di luar Amerika Utara, jika anda merupakan pelanggan Pasukan Dropbox atau menggunakan bahagian Dropbox Sign atau DocSend daripada Perkhidmatan, Dropbox akan bertindak sebagai pemproses data anda.
Perubahan
Jika kami terlibat dalam rombakan semula, penggabungan, pengambilalihan atau penjualan aset kami, data anda boleh dipindahkan akibat urus niaga tersebut. Kami akan memaklumkan kepada anda (contohnya, melalui mesej kepada alamat e-mel yang dikaitkan dengan akaun anda) berkenaan sebarang urus niaga seperti itu dan menjelaskan pilihan anda dalam peristiwa tersebut.
Kami boleh menyemak semula Dasar Privasi ini dari masa ke masa, dan akan menyiarkan versi terkini di laman web kami. Jika semakan tersebut mengurangkan hak-hak anda dengan ketara, kami akan memaklumkan kepada anda.
Hubungi kami
Ada soalan atau kebimbangan mengenai Dropbox, Perkhidmatan kami dan privasi? Hubungi Pegawai Perlindungan Data kami di privacy@dropbox.com. Jika mereka tidak dapat menjawab pertanyaan anda, anda berhak untuk menghubungi pihak berkuasa perlindungan data tempatan anda.